Berkat Rezeki Kerana Sedekah

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan,
harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi.
Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak
harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah
datangkan seekor belalang emas dan
hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah
berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi
Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa
keberkatanMu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki
yang dikurniakan
oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat
kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak
yatim untuk diberikan). Insyallah akan
diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan
sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah
mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan
orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya
dalam harta kita ada hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat)
perlu diberi secara terangan sebagai
menegakkan syiar Islam.
8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat
Quran Ali Imran ayat 92
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat -
bukan dunia untuk dunia)
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli
(perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%)
daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin
1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah
seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan
dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan
merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya
dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti
ini, seluruh umat Islam berdosa.
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. Dalam satu hadith,
Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat
menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah
ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi
menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya
(lokek)' Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan
akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya
menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api
neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi Sedekah itu
penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan
memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara
di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah
digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan.
Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga
harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang
kita tidak ketahui.
Sekian, wallahualam. Semoga yang baik datang daripada Allah dan yang buruk
dari kesilapan sendiri.